07/02/2026
DUA MAYAT DITEMUKAN DI PERSISIRAN SUNGAI KELANTAN, PASIR PEKAN
PASIR PEKAN, 6 Februari 2026 β Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan melalui Unit Marin telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan penemuan dua mayat di persisiran Sungai Kelantan, kawasan Pasir Pekan, Tumpat, pada petang semalam.
APM menerima makluman awal berhubung penemuan satu mayat di kawasan tersebut sekitar jam 6.22 petang sebelum pasukan Unit Marin digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan tujuh anggota bersama beberapa aset bot.
Pasukan penyelamat tiba di lokasi dan mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di persisiran sungai. Ketika operasi sedang dijalankan, satu lagi maklumat diterima daripada orang awam mengenai penemuan mayat kedua pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi pertama.
Pasukan Unit Marin seterusnya mengangkat kedua-dua mangsa dan membawa mereka ke darat sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut melibatkan kerjasama PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tamat sepenuhnya pada jam 9.50 malam dalam keadaan selamat dan terkawal.
APM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan sungai, khususnya semasa paras air tidak menentu, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.